"Tidak akan kayanya kita kalau terlalu kedekut untuk bersedekah, dan tidak akan miskinnya kita kalau kita selalu bersedekah"

Friday, June 15, 2012

Pengertian dan Konsep Zakat

Salam. Saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang zakat kerana masih ada diluar sana yang masih tidak paham tentang zakat ni. Informasi ini diharap dapat membantu ye...

Pengertian zakat

Dalam bahasa arab, “zakat” secara umumnya bererti pertambahan. Berasaskan pengertian umum ini, ia kemudiannya digunakan bagi banyak pengertian seperti cerdik, jenih, berkat, kepujian, bersih dan lain-lain. Sebagai salah satu istilah dalam pengajian hukum atau “fiqh” zakat bererti mengeluarkan kadar tertentu dari harta yang tertentu bagi faedah golongan yang berhak menerimanya sebagaimana yang ditentukan oleh Allah. Selain itu, perkataan zakat ada disebut dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu istilah tunggal bagi sesuatu pengertian kerana al-Quran dan al-Sunnah juga menggunakan perkataan “sedekah” bagi pengertian yang sama. Dalam al-Quran misalnya Allah telah berfirman dalam surah At-taubah ayat 103 yang bermaksud:

Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak Yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

Dalam konteks penggunaan biasa, zakat dari segi bahasa didefinisikan sebagai “bersih”, “suci”, dan “berkembang”. Pengertian “bersih” dan “suci” dalam istilah zakat ialah membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya daripada sifat kedekut dan bakhil. Dalam erti yang lain ialah membersihkan diri dari sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya. Firman Allah dalam surah Al-baqarah ayat 83 :

Dan (ingatlah Wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia Dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan Katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan Yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang Yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.

Kedudukan zakat dalam islam

Sebagaimana yang diketahui ramai, zakat adalah salah satu daripada rukun islam yang lima. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud :

“Islam dibina atas lima : Bersyahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan ramadhan dan haji ke baitullah bagi sesiapa yang mampu mengunjunginya”

Hadis tersebut jelas memberi erti bahawa zakat adalah rukun islam yang ketiga, iaitu selepas syahadah dan sembahyang. Rukun bererti tunggak atau asas utama pembinaan sesuatu. Ini bererti, tanpa mengeluarkan zakat, seperti juga tanpa sembahyang, berpuasa dan sebagainya. Ia bermakna slam seseorang tidak berada dalam keadaan yang kukuh atau sebenarnya jika dia meninggalkan zakat Al-Syaukani berpendapat bahawa kewajipan berzakat merupakan satu perkara yang sangat jelas dalam syariah islam dan tidak perlu kepada apa-apa hujah lagi. Oleh sebab itu, mereka yang mengingkarinya dihukumkan kafir. Ibn Qudamah pula berkata sesiapa yang mengingkarinya disebabkan jahil kerana baru memeluk islam atau hidup terpisah daripada masyarakat islam di daerah yang terlalu jauh, maka dia perlu diberitahu tentang kewajipannya, dan dia tidak dihukumkan kufur kerana ada sebab yang munasabah. Tetapi jika dia seorang muslim yang hidup di dalam negara islam maka dia dihukumkan murtad. Oleh itu, dia hendaklah disuruh bertaubat sebanyak tiga kali. Sekiranya enggan hendaklah dibunuh.

Dari sudut ekonomi pula, zakat adalah ciri terpenting sistem fiskal islam dengan mekanisme pengagihannya yang tersendiri. Zakat dengan bentuknya yang tersendiri merupakan alat dasar fiskal yang dapat menangani masalah pengagihan yang merupakan salah satu daripada objektif ekonomi yang penting. Disamping itu, zakat secara automatik boleh menstabilkan jumlah pendapatan dan guna tenaga.

Kewajipan mengeluarkan zakat

Banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis nabi yang menyebut tentang kewajipan berzakat. Antara ayat-ayat berkenaan adalah firman Allah dalam surah al-baqarah ayat 110 :
Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua Yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat Segala Yang kamu kerjakan

Dalam ayat diatas, Allah secara jelas menyuruh umat islam mengeluarkan zakat, sepertimana juga mereka disuruh sembahyang. Mengikut para fuqaha, ungkapan suruhan memberi erti wajib kecuali ada asas yang memberi faham ia bermaksud sunat atau harus.

Kepentingan zakat

Dalam banyak ayat al-Quran yang disebutkan, pembayaran zakat dinyatakan bersama-sama dengan mendirikan sembahyang. Ini menunjukkan betapa pentingnya tanggung jawab ini dalam islam. Ia diberi penekanan yang sama beratnya dengan ibadat sembahyang dan rukun islam yang lain sehingga tidak menunaikannya dianggap tidak beriman kepada kitab suci al-Quran. Kepentingan inilah yang telah meletakkan zakat sebagai antara perintah agama yang tertinggi dan menjadikan orang-orang islam insaf bahawa bayaran ini adalah mudah, murah, dan bukan paksaan terhadap mereka. Semakin tinggi keimanan orang-orang islam, semakin kuranglah peluang bagi mereka mengingkari zakat. Zakat merupakan sejenis bayaran wajib yang mesti dibayar oleh setiap anggota masyarakat islam yang memenuhi syarat-syarat yang tertentu walau dalam keadaan apa sekalipun. Tabung zakat ini digunakan untuk membantu ahli masyarakat yang kurang berupaya. Zakat membentuk sebuah masyarakat yang saling bekerjasama, bertindak sebagai syarikat insurans dan tabung simpanan masyarakat islam. Setiap ahli masyarakat yang memerlukan bantuan akan dibantu dari tabung ini. Oleh itu, ia bertindak sebagai modal tambahan yang dibiayai oleh masyarakat untuk membantu orang-orang yang menganggur, orang-orang miskin yang memerlukan, anak-anak yatim, balu-balu, orang-orang cacat, orang-orang sakit, dan lain-lain. Ia merupakan insurans sosial yang penting bagi setiap anggota masyarakat islam yang menjamin masa hadapan yang cerah bagi mereka.

Ia merupakan satu tabung insurans yang sumbangannya hanya datang daripada orang-orang kaya. Jika pada hari ini kita kaya, kita mestilah memberi sumbangan kepada tabung ini. Orang-orang miskin dan memerlukan akan mendapat manfaat dari tabung ini pada hari ini, tetapi jika kita atau anak-anak kita menghadapi kesusahan pada hari esok disebabkan oleh perubahan dunia ini, kita atau anak-anak kita juga yang akan mendapat manfaat darinya. Jelaslah bahawa zakat memenuhi kedua-dua tujuan iaitu untuk pembersihan jiwa yang merupakan tanggung jawab terhadap agama dan sebagai insurans sosial bagi semua risiko, hasil dari sumbangan secara kolektif.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...